BUKIT MERTAJAM – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini menyumbangkan pakaian hari raya kepada tiga buah keluarga asnaf bagi menceriakan sambutan 1 Syawal mereka.
Pengerusinya, Datin Abidah Sani berkata program tahunan ‘IM4U Titian Kasih’ itu turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bertujuan meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan.
“Kami telah mengenal pasti tiga buah keluarga iaitu seramai 18 orang kesemuanya di zon utara ini (Bukit Mertajam) dan diharap dapat meringankan sedikit bebanan yang terpaksa ditanggung oleh mereka sementara menanti hari raya nanti, ” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abidah, isteri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, Datuk Mohid Mohamed, berkata bagi zon utara, Pulau Pinang merupakan lokasi pertama program tersebut bagi tahun 2017 dan persatuan itu turut merancang untuk meneruskan program terbabit di negeri Pantai Timur selepas ini.
“Selain menyumbang pakaian, Puspanita turut mengadakan lawatan ke rumah-rumah keluarga miskin yang terpilih di sekitar kawasan zon utara dengan memberi bantuan barangan keperluan harian, juga barangan keperluan bagi anak-anak yang masih bersekolah.
Sementara itu, Pengarah JASA Ahmad Lutfi Ibrahim berkata pihaknya sentiasa proaktif dalam mengadakan program kebajikan bersama agensi kerajaan yang lain selain menganjurkan program yang melibatkan KKMM. – BERNAMA

