KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas media yang menyiarkan kenyataan penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berhubung agenda Kristianisasi pimpinan DAP ke atas negara ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, media tidak seharusnya menulis perkara seperti itu kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat.
“Kepercayaan merupakan hak individu dan jika kita tidak suka orang bukan Islam mempersoalkan komitmen pimpinan beragama Islam di negara bukan Islam, kita juga tidak seharusnya mempersoalkan komitmen pimpinan bukan Islam yang terlibat di dalam isu-isu semasa di negara kita,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman baru-baru ini mendedahkan DAP berdakwah dan memperjuangkan pentadbiran negara mengikut haluan agama Kristian, tetapi pada masa sama mendesak UMNO dan PAS tidak mencampuri isu politik dengan agama Islam.
Beliau dilaporkan media sebagai berkata, buku tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Haya, Hannah Yeoh, bertajuk “Becoming Hannah” (Menjadi Hannah) menjadi bukti tentang agenda DAP tersebut.
“Di dalam buku ini, Hannah Yeoh secara terbuka mengakui penglibatan beliau di dalam bidang politik dibantu oleh pihak Kristian, baik dari segi dana mahupun kempen, bagaimana beliau menggunakan kedudukan politik beliau untuk berdakwah mengenai agama Kristian dan sebagainya.
“Lebih dari itu, beliau juga menyeru ahli-ahli Felo Kristian Seberang Laut khususnya dan penganut agama Kristian umumnya untuk mengikut jejak langkah beliau menceburkan diri dalam bidang politik untuk membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian,” dakwa Kamarul Zaman.
Nik Nazmi seterusnya berkata, Hannah adalah seorang penganut agama Kristian yang komited kepada kepercayaannya, tetapi itu tidak pernah memberi kesan kepada dedikasinya untuk berkhidmat kepada rakyat. – MYNEWSHUB.CC

