KOTA BELUD – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengajak umat Islam memperluaskan skop fungsi masjid agar merentasi amalan biasa yang menggunakan tempat suci itu hanya sebagai tempat beribadah.
Abdul Rahman berkata umat Islam perlu mencontohi Rasulullah SAW dalam memanfaatkan kegunaan masjid pada zamannya iaitu termasuk sebagai pusat pentadbiran, kehakiman serta perekonomian.
“Jangan meletakkan surau dan masjid ini hanya semata-mata tempat beribadah tetapi mereka mesti kembangkan fungsi masjid ini sebagai pusat ilmu, pusat ekonomi, pusat perdagangan sebagainya kerana institusi masjid ini agak besar dalam masyarakat Islam.
Tanpa kita perlekehkan tujuan utamanya untuk beribadah, institusi masjid yang besar dan indah juga kita dapat digunakan untuk program-program yang ada kaitan dengan ekonomi dan pembinaan modal insan,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan dua van untuk masjid Kota Belud di sini hari ini, sumbangan Kumpulan Sapura.
Selain menyumbang van berharga lebih RM140,000, Kumpulan Sapura, turut menyerahkan bantuan RM500,000 untuk masjid di Kota Belud. Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Sapura dan menganggap sumbangan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Sapura yang sejak dahulu memang banyak menyumbang kepada masyarakat.
Mengenai bulan Ramadan yang kian hampir, Abdul Rahman berharap pemimpin dan rakyat dapat bersatu dan mengutamakan ikatan kekeluargaan serta mengambil kesempatan sepanjang bulan yang mulia itu untuk beribadah.
“Yang lebih penting, kurangkan pergeseran, kurangkan percakaran, kurang fitnah dan kurang tuduhan. Jadi kita berharap bulan Ramadan ini akan memberi kita barakah yang lebih besar,” katanya. – BERNAMA
