IPOH – Kerajaan Perak menyediakan pelbagai bentuk pembangunan prasarana bagi kemudahan masyarakat Orang Asli di dalam kawasan Parlimen Sungai Siput, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata ia dapat dilihat melalui pembangunan sistem jaringan jalan raya baharu yang melibatkan peruntukan hampir RM80 juta membabitkan pekan Sungai Siput, kawasan penempatan Orang Asli Pos Legap, Pos Kuala Mu, Pos Yum dan Bawong.
“Saya pergi melihat sendiri pembangunan jalan raya di Sungai Siput ke penempatan Orang Asli di Kuala Mu yang boleh saya katakan cukup lengkap dan baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Guru 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Dato’ Ahmad Said, di sini hari ini.
Pada Ogos tahun lalu, akhbar tempatan melaporkan kerajaan mengeluarkan kos sekitar RM14 juta bagi pembinaan jaringan jalan raya baharu bermula dari pekan Sungai Siput ke penempatan Orang Asli Pos Legap dan Pos Kuala Mu.
Pembinaan yang sama turut melibatkan kawasan penempatan Orang Asli Bawong ke Pos Legap dan Pos Legap ke Pos Yum yang membabitkan kos sebanyak RM58 juta.
Zambry berkata pembinaan itu juga bagi menyelesaikan kesulitan yang dialami penduduk Orang Asli di parlimen berkenaan yang sebelum ini terpaksa mengharungi jalan yang berselut dan becak sekiranya hujan.
“Kali ini, kalau hujan pun jalan raya baharu itu boleh dilalui dengan selesa dan saya harap penduduk yang tinggal di situ boleh menjaga kemudahan tersebut dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata selain pembinaan jalan raya, kerajaan juga telah menyediakan kemudahan asrama kepada anak Orang Asli yang meneruskan sesi pengajian di sekolah harian.
“Tujuan kita adalah untuk memastikan mereka menikmati kemudahan yang sepatutnya seperti pelajar-pelajar lain,” katanya. – BERNAMA