KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam titah baginda bersempena Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Tahun 2017 pada Mac lalu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Johor kerana berjaya mengekalkan kemajuan ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat di Johor.
Sultan Johor malah bertitah, baginda percaya kejayaan yang telah dicapai negeri itu adalah hasil daripada kesungguhan semua pemimpin dan anggota perkhidmatan awam, selain sokongan masyarakat Johor yang sentiasa bermuafakat.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini pula mendakwa sebaliknya kononnya rakyat Johor sedang hidup dalam kesempitan kerana pendapatan mereka tidak setimpal dengan keperluan hidup.
“Sepanjang pengalaman saya bergiat dalam dunia politik bergaul dengan segenap lapisan rakyat Johor, boleh saya simpulkan bahawa pendapatan mereka tidak setimpal dengan apa yang diperlukan pada hari ini seperti rumah, pengangkutan dan keperluan asas.
“Sudah menjadi kebiasaan rakyat Johor melihat ratusan ribu rakyat Malaysia keluar dan masuk ke Singapura setiap hari untuk bekerja di sana. Sebahagian besar 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dalam sektor kolar biru adalah daripada negeri Johor. Sedih saya melihat situasi ini,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan media hari ini.
Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan salah sebuah anggota parti Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP. Pakatan Harapan merupakan rakan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hujah Salahuddin untuk memburuk-burukkan kerajaan Johor dengan membuat cerita kononnnya segelintir rakyat negeri itu terpaksa bekerja di Singapura kerana hidup mereka di negeri itu sangat sukar jauh daripada realiti.
Umum mengetahui segelintir rakyat Johor bekerja di Singapura bukan perkara baharu sebaliknya fenomena biasa di negeri itu sejak berpuluh tahun lalu termasuk sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Mereke bekerja di Singapura sejak berpuluh tahun lalu bukan kerana tiada peluang pekerjaan di negeri sendiri, tetapi ekoran perbezaan nilai mata wang ditambah kedudukan Singapura yang sangat hampir dengan Johor.
“Saya percaya sekiranya pentadbiran hari ini tidak rasuah dan menjaga kebajikan rakyat, rakyat Johor tidak perlu bersusah-payah ke Singapura untuk mencari nafkah. Tidak ada yang mustahil jika negeri Johor ditadbir oleh kepimpinan baru Pakatan Harapan yang bebas rasuah dan memahami kehendak dan aspirasi rakyat,” dakwa Salahuddin. – MYNEWSHUB.CC

