KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemukan di kawasan Ladang Kelapa Sawit, Jalan Lama Kerling, Hulu Selangor, Selangor hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata mayat mangsa berusia 46 tahun itu ditemui dengan jarak kira-kira lapan meter daripada keretanya yang terbakar pada 10.15 pagi tadi oleh orang awam.
“Tiada kesan luka akibat tikaman atau tembakan pada tubuh mangsa, namun terdapat kesan calar pada kaki kiri dan tangan kanan si mati. Dompet dan wang tunai juga masih terdapat bersama mangsa.
“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dalam kenderaan dan bukan enjin, ” katanya dalam satu kenyataan.
Supramaniam berkata temu bual bersama abang mangsa mendapati lelaki itu mengalami masalah kemurungan lebih kurang sebulan yang lalu dan mempunyai masalah peribadi bersama teman wanitanya.
Katanya, adik mangsa turut membuat laporan polis semalam kerana bimbang abangnya yang pernah mengalami masalah strok tidak membawa ubat ketika keluar bekerja di Subang Jaya, Selangor sebelum tidak pulang ke rumah.
Orang ramai yg mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Insp Hanafi di talian 013-2402487. – BERNAMA

