SEORANG lelaki warga Nepal ditahan selepas cuba merasuah polis yang menahannya kerana memandu tanpa lesen di Parit Jawa, Muar, Johor Bahru, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah menahan lelaki berusia 24 tahun itu selepas mendapati dia menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pemeriksaan mendapati suspek tiada lesen memandu dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Menurutnya, ketika menjalankan siasatan, suspek cuba menawarkan wang ganjaran kepada anggota berkenaan dengan nilai suapan kira-kira RM100 termasuk mata wang asing.
“Anggota menolak tawaran itu beberapa kali dan pada masa sama memberi amaran, namun suspek tetap berkeras menghulurkan wang menyebabkan dia ditahan dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan,” katanya.
Suspek ditahan mengikut Akta Imigresen selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MYNEWSHUB.CC
*Video dibawah sekadar hiasan…

