IPOH – Seramai 5,845 individu di Perak telah diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sejak 2012 hingga tahun lepas, kata Pengarah Insolvensi negeri Perak Hezlin Haldi.
Beliau berkata berdasarkan rekod statistik, mereka ini berumur antara 35 hingga 44 tahun.
“Kebanyakan kes muflis berlaku disebabkan masalah pinjaman peribadi selain disebabkan sewa beli kenderaan dan pinjaman perumahan,” katanya pada taklimat bersama agensi kerajaan dan swasta serta penyampaian sijil pelepasan kemuflisan sempena Program Hari Bersama MdI peringkat negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata kebanyakan individu yang memohon untuk keluar daripada status muflis adalah menerusi pelepasan mahkamah, pembatalan dengan pembayaran penuh hutang serta pelepasan menerusi pencapaian indeks prestasi utama individu berkenaan di tempat kerja.
Menurutnya, seramai 101,958 individu telah diisytihar muflis di 22 cawangan MdI di seluruh negara bagi tempoh yang sama.
Sementara itu, mengenai program yang dilaksanakan serentak di seluruh negara itu, Hezlin berkata ia bertujuan untuk memberi maklumat kepada masyarakat mengenai perubahan Rang Undang-Undang Kemuflisan (Pindaan) 2016 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu dan Dewan Negara pada 26 April.
“Dengan adanya program sebegini, diharap dapat membantu masyarakat menggunakan saluran yang betul berkenaan isu muflis serta pihak berkepentingan bagi membincangkan dan mengutarakan cadangan untuk menambah kualiti perkhidmatan MdI,” katanya. – BERNAMA

