KUANTAN – Lebih 28,000 anak ayam hangus dalam kebakaran di ladang ternakan ayam di Kampung Rimbun Chenor, Maran awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Maran, Shamsul Affendy Sulaiman berkata bomba menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 4.07 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan tiga jenteta dan 11 anggota serta pegawai.
“Sampai di tempat kejadian, kebakaran didapati telah memusnahkan hampir keseluruhan sebuah reban bersaiz 360 x 45 kaki yang menempatkan lebih 28,000 anak ayam.
“Bagaimanapun hasil tindakan pantas, kita telah berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke sebuah lagi reban lain yang menempatkan lebih 20,000 anak ayam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, ekoran kebakaran itu sebuah stor makanan ayam dan rumah pekerja turut rosak kira-kira 10 peratus, namun tiga orang pekerja yang sedang tidur di rumah berkenaan ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan. – BERNAMA