PANAS… Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai penglibatan Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali, mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat namun tarikh akan diputuskan sendiri oleh Setiausaha PAS iaitu Datuk Takiyuddin Hassan.
Ia susulan ‘kata dua’ Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam dilaporkan minta kesemua tiga Exco daripada wakil PAS agar segera berundur secara terhormat atau menghadapi kemungkinan dipecat.
Difahamkan, kekosongan jawatan ditinggalkan PAS itu akan diisi masing-masing satu oleh wakil PAN, PKR dan DAP. Menguatkan lagi keyakinan itu apabila Timbalan Presiden PKR tersebut memanggil kesemua mereka.
Media tempatan melaporkan bahawa Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib bertemu dengan Mohamed Azmin di pejabat menteri besar tersebut di Shah Alam pada pagi Jumaat.
Mengulas lanjut setakat ini jelas Khairuddin lagi, tiga Exco PAS di Selangor masih kekal bersama pentadbiran Mohamed Azmin sehingga keputusan muktamad sebaliknya ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja parti tersebut.
“Jawatankuasa kerja PAS Pusat akan bermesyuarat bagi menentukan tindakan termasuk penglibatan PAS dalam kerajaan selangor pasca terbatal tahaaluf siyaasi dengan PKR sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.
“PAS masih kekal dalam Kerajaan Selangor pasca putus tahaaluf siyaasi dengan DAP dua tahun lalu dan kini masih kekal sehingga diputuskan sebaliknya Jawatankuasa PAS Pusat,” katanya kepada portal BNBBC.my pada Sabtu.
Khairuddin berkata demikian bagi menjawab tohmahan banyak pihak yang dakwa PAS masih lagi ingin kekal bersama PKR dalam pentadbiran kerajaan Selangor meskipun sudah putus hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.
Bagaimanapun Khairuddin mengingatkan pentadbiran negeri Selangor bukan hak milik mana-mana parti kerana ia adalah hasil bersama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu menerusi kerjasama Pakatan Rakyat.
“Jika mereka termasuk DAP masih lagi tidak berpuas hati dengan pihak PAS, mereka sebenarnya boleh merujuk kepada Menteri Besar atau Sultan Selangor bagi bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor,” tambahnya.
Menjelaskan lebih lanjut, Khairuddin berkata keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu juga bukan bermakna Majlis Syura Ulama PAS tiada fungsi dalam menetapkan perihal hubungan antara PAS dan PKR.
Namun isu kemelut kerjasama politik antara kedua-dua parti pembangkang tersebut merupakan isu khas yang memerlukan penglibatan PAS Pusat untuk membuat keputusan yang lebih jelas mengenai perkara berkenaan.
“Majlis Syura telah memutuskan hubungan tahaaluf siyaasi dengan PKR. Ia keputusan dasar. Ia melibatkan semua negeri di seluruh Malaysia. Bagaimanapun tindakan politik pula adalah bidang tugasan AJK PAS Pusat.
“Isu Selangor pula adalah isu penglibatan PAS dalam sebuah kerajaan yang telah sedia ada PAS menjadi sebahagian daripada pemiliknya. Ini isu khas,” ujar Khairuddin lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

