SINGAPURA – Para penumpang penerbangan yang berlepas dari Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi petang boleh menjangkakan kelewatan jadual penerbangan yang ketara berikutan satu kebakaran kecil di terminal balai berlepas , kata operator lapangan terbang Changi.
“Bagi menjamin keselamatan, terminal 2 ditutup. Semua penerbangan yang berlepas dan tiba di terminal 2 akan dipindahkan ke terminal 3 sehingga diberitahu kelak,” menurut lapangan terbang Changi dalam akaun Facebooknya.
Menurut lapangan terbang itu, maklumat penerbangan sedang dikemas kini dan penumpang perlu menyemak skrin maklumat penerbangan di terminal dan di laman web lapangan terbang Changi untuk barisan daftar masuk, pintu berlepas dan butiran bagasi.
“Kami telah mengenal pasti punca kebakaran. Keadaan terkawal. Operasi Penerbangan di terminal 2 terjejas. Kami akan memaklumkan apabila operasi bersambung semula,” menurut lapangan terbang itu.
Menurut lapangan terbang itu, penggera kebakaran di terminal diaktifkan pada kira-kira 5.40 petang disebabkan asap yang melalui lubang udara.
“Pemindahan terminal dimulakan dan pasukan Khidmat Kecemasan Lapangan Terbang Changi berada di tempat kejadian,” kata lapangan terbang itu.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengesahkan kebakaran kecil berlaku di Terminal 2 lapangan terbang itu dan ia dapat dipadamkan SCDF,” kata lapangan terbang itu melalui maklumatnya yang dikemas kini dalam Facebook.
Menurut lapangan terbang itu, dua orang dibawa ke hospital kerana terhidup asap. – BERNAMA

