KUANTAN – Penjualan tiket di Stadium Darul Makmur, di sini hari ini, untuk aksi final bola sepak Piala FA 2017 antara Pahang dan Kedah, berjalan lancar dan tenang tanpa sebarang insiden tidak diiingini dengan peminat skuad Tok Gajah sabar menunggu giliran masing-masing.
Senario itu berkemungkinan berlaku kerana jumlah tiket yang diperuntukkan adalah banyak iaitu 32,000 tiket di mana 17,000 daripadanya dijual di lapan kaunter stadium, 6,000 tiket dijual secara dalam talian manakala selebihnya diagih kepada setiap persatuan bola sepak daerah.
Selain itu, faktor jualan tiket untuk final yang dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu ini, pada waktu pejabat juga menyumbang kepada keadaan tenang tersebut kerana kebanyakan penyokong tidak membeli sendiri, sebaliknya menghantar wakil.
Seorang penyokong pasukan Pahang, Ahmad Rustam Kamal, 28, berkata beliau tidak perlu menunggu lama membeli empat tiket seperti ditetapkan, berbeza dengan pengalaman membeli tiket pada perlawanan sebelumnya.
“Saya datang tepat pada pukul 10 pagi iaitu waktu kaunter jualan mula dibuka bagi membeli tiket untuk diri sendiri dan kawan-kawan.
“Tidak seperti perlawanan suku akhir lalu ketika Pahang bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), kali ini saya tidak perlu berebut atau beratur panjang kerana orang tidak ramai.
“Dalam masa 10 minit saya berjaya membeli empat tiket termasuk yang dikirim oleh rakan sekerja,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di perkarangan Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.
Bagi perlawanan akhir Piala FA 2017 ini, setiap individu hanya boleh membeli empat tiket dan harga tiket ditetapkan RM50 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
Sementara itu, penyokong wanita Ramlah Abdullah, 35, berkata beliau datang bersama tiga anggota keluarganya untuk membeli tiket tersebut dan hanya menunggu lima minit mendapatkannya selepas tiba pada pukul 11 pagi.
Sementara itu. Pengerusi Laksamana Tok Gajah yang merupakan kelab penyokong Pahang, Mohd Yusry Abd Kadir, 43, berkata kira-kira 600 penyokong kelab tersebut dijangka berkonvoi ke Stadium Shah Alam selepas berkumpul di Stadium Darul Makmur.
Pengerusi Kelab Family Tok Gajah 06, Haris Abas, 39, pula berkata kesemua kelab penyokong Pahang akan bergabung dan bergerak serentak ke Shah Alam bagi menzahirkan sokongan kepada pasukan kendalian Dollah Salleh.
“Saya yakin dengan sokongan padu penyokong, Pahang mampu melakar kejutan untuk menewaskan Kedah sekali gus membawa pulang Piala FA ke bumi Tok Gajah,” katanya. – BERNAMA

