KUALA LUMPUR – Ketika era surat sudah dianggap ketinggalan zaman apabila digantikan dengan e-mel, tidak ramai tahu perkhidmatan Pos Laju pula makin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Terbaharu, agensi pengeposan kebangsaan, Pos Malaysia Berhad dilapor mengunjurkan pendapatan hasil daripada perkhidmatan kuriernya iaitu Pos Laju bakal mencecah rekod RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Syukri Mohd. Salleh, rekod keuntungan besar tersebut bakal disumbangkan menerusi sejumlah 100 juta transaksi penghantaran yang disasarkan menjelang tahun 2018.
Ia berbanding hanya sekitar 70 juta urus niaga penghantaran direkodkan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu, sekali gus membuktikan perkhidmatan pos masih lagi relevan dalam dunia yang semakin bergerak pantas.
Untuk rekod, sepanjang tempoh tahun kewangan berakhir sehingga 31 Mac 2016 lalu, perolehan cabang kurier itu mencatatkan perolehan kira-kira RM520 juta dengan segmen prabayar menyumbang hampir RM10 juta sebulan.

Ini menggambarkan trend positif peningkatan jumlah peniaga atas talian yang amat bergantung kepada operasi Pos Laju dan secara tidak langsung menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia membeli barang menerusi cara online.
Bagi mencapai sasaran 100 juta transaksi pengeposan, Pos Malaysia ujar Mohd. Syukri, merancang untuk membuka tambahan lagi 15 buah kiosk Pos Laju di beberapa kawasan bandar utama di seluruh negara menjelang 2018.
Ini termasuk juga di kompleks beli belah dan pasar raya besar ternama yang beroperasi setiap hari termasuk hari minggu bagi memudahkan orang ramai dapat melakukan penghantaran serta pembelian pelbagai produk Pos Laju.
Ketika ini pelanggan boleh menikmati perkhidmatan Pos Laju di lebih daripada 1,000 outlet termasuk 704 buah cawangan Pos Malaysia, 264 outlet Pos Mini, 68 cawangan Pos Laju, 13 pusat Pos Laju dan enam kiosk Pos Laju.
Malahan terdapat juga 151 ejen kurier berdaftar Pos Laju yang meliputi premis cawangan IKOBANA (44), Mail Boxes Etc. (50), MPH Bookstore (15), PROTON Edar (21) dan pihak individu (66). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

