Kuala Lumpur: Taktik penyeludupan dadah melalui penghantaran kurier dikekang menerusi pembangunan sistem kawalan keselamatan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ia susulan kegiatan sindiket dadah menggunakan vape berisi cecair kokain yang ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada 19 Jun lalu, dipercayai dalam perjalanan ke syarikat penerbangan kurier bagi diseludup ke pasaran antarabangsa.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, siasatan mendapati sindiket itu mengambil risiko menghantar dadah keluar dari Malaysia sebagai transit dan tidak bertujuan mencabar sistem keselamatan negara.
“Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai negara transit namun mereka gagal kerana JSJN lebih cekap.
“Sindiket ini mengambil kesempatan terhadap perkembangan industri vape dengan mencipta cecair yang lebih eksklusif.
“Ini adalah kali pertama mereka mencuba dan terus gagal. Mereka ambil risiko dan cuba nasib,” katanya.
Justeru, Mat Zani berkata, pemeriksaan lebih ketat dan efisien perlu diperkukuh di semua pintu masuk negara termasuk lapangan terbang serta syarikat kurier bagi menangani cubaan menyeludup.
“Pemeriksaan yang ketat dan efisien dengan sistem kawalan keselamatan berasaskan teknologi AI perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Ini termasuk di peringkat lapangan terbang dan syarikat kurier, supaya percubaan menyeludup dadah dalam bentuk cecair seperti ini dapat dikesan lebih awal,” katanya.
Semalam media melaporkan, polis menumpaskan sindiket pengedaran katrij cecair vape mengandungi dadah jenis kokain yang pertama di negara ini selepas menahan empat individu di parkir hotel di Ampang Jaya, Khamis lalu dan merampas 4,958 katrij cecair vape bernilai RM7.2 juta.
Dadah berkenaan yang dibawa masuk dari Singapura itu dipercayai untuk pasaran individu kenamaan (VIP) dan antarabangsa.
Polis menahan seorang warga tempatan dan tiga warga Singapura di dalam kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire di hotel berkenaan.
Penahanan suspek berusia 25 hingga 50 tahun itu membawa kepada sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan lokasi pembungkusan semula katrij cecair vape berkenaan.
Siasatan awal mendapati semua katrij cecair vape berkenaan adalah untuk pasaran antarabangsa yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.
-Harian Metro


