KUALA LUMPUR – PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau berhubung penyiaran kartun yang menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata tindakan akhbar itu bukan sekadar menghina dua pemimpin berkenaan tetapi satu penghinaan terhadap umat Islam dan undang-undang Islam.
“PAS tidak boleh berkompromi dalam perkara seumpama ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Untuk itu PAS telah melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata PAS juga menggesa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Akhbar itu dalam satu kenyataan semalam memohon maaf dan mengakui penyiaran kartun itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.
Pada 8 April lepas, akhbar berkenaan menyiarkan sebuah kartun di portal mereka, yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label ‘Hadi Awang’.
Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’.
Sementara itu di PETALING JAYA, PAS Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada akhbar berkenaan berhubung penyiaran kartun itu, antara lain menuntut akhbar itu membuat permohonan secara terbuka di akhbar berkenaan.
Memorandum itu diserahkan oleh Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim kepada Ketua Pengarang akhbar itu, Chan Aun Kuang pada 11 pagi tadi. – BERNAMA

