JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi berhubung kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan terperinci berlandaskan aspek perundangan.
“Membuat spekulasi hanya akan merumitkan lagi keadaan,” katanya dan menambah beliau bagi pihak kerajaan Johor amat berdukacita atas pemergian Mohamad Thaqif Amin.
Mohamed Khaled turut menyeru semua pihak supaya menyedekahkan al-Fatihah dan berdoa supaya rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T.
Mohamad Thaqif Amin, 11, yang dijadual menjalani pembedahan untuk memotong tangan kanannya hari ini meninggal dunia pada 2.05 petang tadi di Hospital Sultan Ismail (HSI). Pelajar madrasah tahfiz swasta di Kota Tinggi itu sebelum ini dipotong kedua-dua belah kakinya hingga paras peha akibat jangkitan kuman, Jumaat lepas.
Kisah pelajar itu yang dimasukkan ke HSI Rabu lepas menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dikatakan akibat dipukul oleh pembantu warden madrasah itu. – BERNAMA

