IPOH – Lebih 400 pelumba dari 21 negara termasuk Itali, Perancis dan India menyertai Gran Fondo New York (GFNY) Malaysia yang berlangsung di bandar raya Ipoh di sini hari ini.
Selaras dengan temanya ‘Be A Pro For A Day’, perlawanan itu dipecahkan kepada dua kategori iaitu 80 kilometer (km) bagi amatur dan 160km untuk pelumba profesional.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata perlumbaan yang diadakan bersempena Ipoh Cycle Fest 2017 itu dijangka dapat menaikkan lagi nama negeri Perak sebagai lokasi pilihan pelancong di seluruh dunia.
“Alhamdulillah kita lihat dari segi penyertaannya, ini merupakan satu acara yang membawa ramai peserta dalam sukan berbasikal ke bandar raya Ipoh sempena Tahun Melawat Perak 2017,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Flag-off GFNY di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Sementara itu, Shahrul Zaman berkata kerajaan Perak amat komited dalam membangunkan sukan-pelancongan di negeri ini dan akan menjadikan GFNY sebagai acara tahunan di Perak dalam kalendar pelancongan bersempena Ipoh Cycle Fest.
“Untuk tempoh satu bulan sahaja kita ada tiga acara sukan bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung di Perak termasuklah GFNY ini.
“Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah dan Kejohanan Ragbi ASEAN Divisyen 1 juga akan diadakan dan ini jelas menunjukkan kita serius dalam membangunkan sukan-pelancongan di Perak,” katanya.
Sehubungan itu, kata Shahrul Zaman, kerajaan negeri berterima kasih kepada GFNY kerana memilih Malaysia khususnya menjadikan Ipoh antara venue perlumbaan.
Bagi pelumba profesional, GFNY merupakan perlumbaan litar terakhir bagi mereka mendapatkan mata untuk melayakkan diri ke Campagnolo GFNY World Championship di New York pada Mei 2018. – BERNAMA