TELUK INTAN – Polis menahan 67 penagih dadah, termasuk enam suspek yang dipercayai merupakan pengedar dadah dalam beberapa serbuan berasingan di Teluk Intan dan Bagan Datuk dalam Ops Bersepadu Khas Hilir Perak selama dua hari berakhir semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata nilai rampasan hampir RM11,000 dirampas terdiri daripada 167.31 gram dadah heroin, 23.68 gram syabu, empat biji pil eramin 5 dan 60 liter air ketum dalam operasi bermula 10 malam Isnin.
“Kami menahan 61 lelaki dan lima wanita berusia lingkungan umur 26 hingga 47 tahun.
“Dua daripada enam suspek yang dipercayai pengedar dadah ditahan di lokasi berasingan itu merupakan wanita berusia 29 dan 31 tahun dan keenam-enam individu itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, hari ini.
Dalam pada itu Wan Hassan berkata operasi bersepadu itu turut menahan dua beradik kerana disyaki membuat air ketum dan menjualnya dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kota Setia, dekat sini semalam.
Katanya bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek itu ditahan selepas selesai memproses dan membotolkan air ketum.
“Kami dapati dua beradik itu tidak bekerja, yang lelaki berusia 21 tahun manakala kakaknya berusia 27 tahun.
“Pemeriksaan di bahagian dapur rumah, kami merampas satu periuk bagi memproses air ketum selain 40 botol 1.5 liter berisi air ketum,” katanya.
Beliau berkata dua beradik itu menjual air ketum di sekitar kawasan setempat dengan harga RM10 sebotol.
Katanya kedua-dua suspek itu juga disyaki terlibat penagihan dadah apabila ujian saringan awal dijalankan didapati positif amphetamine.
Ops Bersepadu Khas itu membabitkan seramai 83 pegawai dan anggota polis serta Agensi Antidadah Kebangsaan Hilir Perak. – BERNAMA

