JOHOR BAHRU – Seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak sah, ditahan di Kota Tinggi, dekat sini malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata kesemua PATI lelaki dewasa berumur antara 21 dan 53 tahun ditahan di pesisiran pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar dalam Op Landai yang dijalankan.
Menurutnya serbuan dilakukan pada pukul 8 malam ketika kesemua PATI sedang menunggu bot pancung untuk membawa mereka pulang ke negara asal.
“Mereka ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kesemua PATI itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

