BAYANGKAN menurut statistik rasmi kerajaan Singapura, hutang luar negeri republik itu pada akhir Februari 2017 ialah S$1.744 trilion – bersamaan kira-kira RM5.5 trilion – atau RM5,500 bilion.
Peliknya baru-baru ini, pihak pembangkang di Malaysia menyebarkan kebimbangan tidak berasas kononnya hutang luar negeri kerajaan negara kita telah meningkat berkali-kali ganda sehingga mencecah kepada RM908.7 bilion.
Kelakarnya mereka menggunakan definisi antarabangsa yang sama seperti kes hutang pemerintah Singapura malah lebih lucu, ada pula mendakwa konon jumlah mega dinyatakan itu adalah hutang ditanggung Kerajaan Persekutuan!
Hutang luar negeri lebih tinggi secara umumnya tidak bermakna bahawa negara berada dalam situasi kesusahan kritikal apatah lagi terjerumus kepada muflis seperti dialami Greece yang dulu maju tetapi kini langsung lumpuh.
Bahkan, seperti dalam kes hutang direkodkan Singapura, ia merupakan perkara baik sebagai isyarat untuk tarik pelaburan dan deposit yang lebih tinggi ke dalam Malaysia serta iklim pasaran kewangan semakin meningkat.
Definisi hutang luar negeri adalah sangat luas merangkumi sektor awam dan swasta, bon korporat yang diterbitkan syarikat antarabangsa dan dilanggani firma asing, warga asing deposit ke dalam akaun bank Malaysia dan lain-lain.
Untuk rekod, kerajaan Malaysia tidak lagi berhutang apa-apa kepada Dana Mata Wang Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia untuk pembiayaan projek pembangunan prasarana, pembayaran gaji penjawat awam dan sebagainya.
Sekadar makluman, definisi baharu ditetapkan IMF telah pun berubah secara kebetulan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri pada 2009 sekali gus menyaksikan hutang luar negeri tiba-tiba naik mendadak.
Agensi antarabangsa itu mentakrifkan segala jenis pinjaman yang dilakukan rakyat negara berkenaan termasuk pembiayaan kediaman, kenderaan, peribadi, kad kredit waima pendidikan tinggi dianggap hutang luar negeri.
Sila baca artikel berikut untuk memahami maksud sebenar hutang luar negeri menerusi pautan portal ini Why does Singapore have such a high external debt of US$1.76 trillion? – Mynewshub.cc/HAA