Saturday, July 27, 2024

Creating liberating content

Polis Kesan Kanak-Kanak Lelaki...

TAWAU - Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan...

Akta 355 Bakal Dipinda,...

KOTA BHARU - Kerajaan bercadang untuk meminda Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih...

Video: “Mana Kau Nak...

RAKAMAN sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai dilarikan oleh seorang pencuri menjadi...

Jangan ‘Laga Tangan’, Cukup...

KUALA LUMPUR - Trend orang ramai ketika ini melakukan 'fist bump' atau menggenggam tangan...

RSN Pahang 2050 Ambil Kira Urus Alam Secara Lestari

KUANTAN – Kerajaan negeri akan memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pahang 2050 memberi penekanan mengenai aspek pengurusan alam sekitar secara lestari.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ia bagi memastikan setiap pembangunan serta penerokaan kawasan baharu yang dilakukan termasuk untuk perumahan, pertanian serta perlombongan, tidak mengancam alam sekitar.

“Manusia semakin bertambah, banyak penempatan baharu yang terpaksa dibuka tetapi pada masa sama, banyak perkara kita abaikan termasuk soal pelupusan sampah dan pengurusan sisa pepejal sehingga berlaku pencemaran.

“Sehubungan itu, saya meminta jabatan yang berkenaan untuk ambil pendekatan bersepadu dalam menguruskan hal ini…saya sedih melihat semakin banyak sungai negeri ini yang tercemar disebabkan pembangunan tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Publisiti Laporan Tinjauan RSN Pahang 2050 dan Seminar Pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia Datuk Zainnuddin Ahamad dan Pengarah PLANMalaysia@ Pahang Datuk Hazizah Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ERCL) yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, mampu merancakkan lagi RSN Pahang 2050 dengan limpahan ekonominya turut dikecapi penduduk setempat.

“Mengikut pelan, terdapat tujuh hentian sepanjang laluan ECRL di negeri ini dan kerajaan negeri akan memastikan setiap kawasan itu menjadi kawasan pembangunan ekonomi baharu, bukan hanya tempat mengambil penumpang sahaja.

“Secara tidak langsung ia juga mampu melonjakkan ekonomi penduduk kawasan yang terlibat seperti di Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kuantan dan Pelabuhan Kuantan selain memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.


Sementara itu, Zainuddin ketika berucap pada majlis berkenaan berkata Pahang merupakan negeri terawal di Pantai Timur melaksanakan kajian semula bagi RSN.

Katanya ia dilakukan setelah mengambil kira tiga faktor utama iaitu pembangunan projek pelaburan berimpak tinggi seperti ECRL, Kuantan Port City dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Selain itu, kajian semula itu disebabkan pelan induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan perubahan dasar negara dalam Rancangan Malaysia ke-11, Dasar Perbandaran Negara ke-2 dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara.

“RSN Pahang 2050 disediakan di bawah peruntukan bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.26 juta dengan tempoh penyediaan selama 18 bulan bermula Mei 2016 hingga Dis ini.

“Pada masa sama kita juga memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat semakan atau bantahan tentang Laporan Tinjauan RSN 2050 bermula hari ini sehingga 25 April depan di 14 lokasi terpilih.

“Tempat-tempat berkenaan ialah perkarangan lobi UTC Kuantan, lobi Wisma Negeri Pahang, lobi bangunan Komtur, Indera Mahkota dan 11 pihak berkuasa tempatan,”katanya. – BERNAMA

Kategori