KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia berjaya memasuki Kedutaan Korea Utara di sini pada Ahad berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, menurut akhbar berpengaruh Jepun, The Japan Times.
Harian berbahasa Inggeris itu memetik akhbar tempatan, China Press yang mendakwa empat pegawai termasuk Ketua Polis Selangor sendiri dibenarkan memasuki bangunan canseri itu selama dua setengah jam pada waktu pagi.
Ia melaporkan perjanjian awal mungkin telah dicapai mengenai isu mayat abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un dan sebagai balasan, tiga suspek bersembunyi di kedutaan itu dirakamkan kenyataan mereka.
Salah seorang daripadanya ialah Hyon Kwang Song, 44, yang merupakan setiausaha kedua kedutaan negara rejim komunis itu dan memiliki kekebalan diplomatik; antara turut diambil keterangan oleh pegawai penyiasat polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam pada itu dilaporkan ada membayangkan bahawa beliau bakal memberikan butiran tentang apa yang berlaku di premis kedutaan tersebut pada sidang media yang seterusnya.
Sementara itu, China Press turut melaporkan bahawa mayat lelaki berusia 45 tahun tersebut mungkin telah berpindah keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur di sini pada jam 2 petang Ahad.
Akhbar berbahasa Cina itu berkata, terdapat situasi ‘luar biasa’ susulan peningkatan kehadiran anggota polis berpakaian preman di rumah mayat tersebut apabila sebuah kereta Toyota Vellfire berwarna putih muncul.
Ketika ditanya, seorang wakil syarikat pengurusan jenazah berkata, dia diupah seorang pegawai kerajaan untuk mengangkut mayat, tetapi hanya pemandu tahu di mana ia perlu dihantar dan mereka perlu berdiam diri.
Namun begitu, kira-kira pukul 9.30 malam Isnin, sebuah lagi van berwarna putih kelihatan membawa keluar sebuah keranda yang dibalut plastik bercop ‘fragile’ dari institut berkenaan untuk dibawa ke satu lokasi dirahsiakan.
Baca: Mayat Kim Jong-nam Sudah Dibawa Keluar Dari HKL?

Terdahulu, Malaysia membayangkan bahawa rundingan dengan pihak berkuasa Korea Utara mengenai kemelut ketegangan hubungan diplomatik antara Putrajaya-Pyongyang sejak bulan lalu bakal berakhir ‘tidak lama lagi’.
“Esok, mungkin ada kenyataan rasmi Wisma Putra mengenai rundingan kami dengan DPRK,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid kepada pemberita yang merujuk akronim Korea Utara.
Jong-nam mati selepas diserang dua wanita Asia tenggara ketika memasuki Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, Selangor pada 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan balik ke Macau, China.
Dalam program berasingan, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata rundingan masih dijalankan melibatkan Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri di sebelah Malaysia serta wakil daripada Korea Utara.
“Saya diberitahu bahawa mereka telah buat beberapa keputusan tetapi yakin pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. Pengumuman itu boleh datang bila-bila masa sahaja,” katanya dipetik oleh agensi berita rasmi Bernama.
Terdapat khabar angin bahawa kedua-dua pihak sebenarnya telah pun mencapai persetujuan mengenai isu Jong-nam, sekali gus membuka jalan untuk mayat tersebut diserahkan terus kepada pihak Pyongyang sendiri.
Apabila ditanya mengenai desas-desus itu, Subramaniam hanya berkata, “Saya tidak tahu kerana saya diberitahu keputusan akan dibuat tidak lama lagi. Kemungkinan besar, Perdana Menteri akan membuat pengumuman.”
Beliau merujuk inisiatif Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menyelesaikan kemelut kes pembunuhan berprofil tinggi itu secepat mungkin tanpa menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara Asia tersebut selama ini.
Ia susulan pengesahan identiti mayat itu daripada sampel DNA anak mangsa sendiri selain waris memberi izin kepada kerajaan Malaysia untuk menguruskan proses pengebumian Jong-nam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

