SEOUL: Korea Utara hari ini, mengecam serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas fasiliti nuklear Iran yang disifatkan pelanggaran serius terhadap kepentingan keselamatan dan hak kedaulatan negara, lapor media rasmi negara itu.
Kementerian Luar Korea Utara berkata, AS dan Israel punca ketegangan semasa di Asia Barat akibat ‘langkah perang tanpa henti dan peluasan wilayah’ serta digalakkan negara Barat.
“(Korea Utara) mengecam sekeras-kerasnya serangan AS ke atas Iran yang secara ganas mencabul keutuhan wilayah dan kepentingan keselamatan negara berdaulat.
“Kami menyeru masyarakat antarabangsa yang cintakan keadilan agar menyuarakan kecaman dan penolakan sebulat suara terhadap tindakan konfrontasi ASdan Israel,” kata jurucakap yang tidak dinamakan dalam kenyataan disiarkan agensi berita KCNA.
Iran dan Korea Utara menjalin hubungan mesra sejak sekian lama dan selama beberapa dekad disyaki bekerjasama dalam bidang ketenteraan, termasuk pembangunan peluru berpandu balistik.
Pada 2021, panel pakar pemantau sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang sudah dibubarkan melaporkan, kedua-dua negara itu menyambung semula kerjasama dalam projek pembangunan peluru berpandu jarak jauh, termasuk pemindahan komponen penting.
Bagi Ankit Panda dari Carnegie Endowment for International Peace yang berpangkalan di AS, berkata Pyongyang mungkin mampu memberi bantuan penting kepada Iran untuk membina semula fasilit pengeluaran peluru berpandu yang musnah, termasuk di lokasi baharu bagi mengelak pemantauan.
Namun, katanya, persoalan sama ada kedua-dua negara berminat bekerjasama membina semula atau mempercepat program senjata nuklear Iran masih belum pasti, memandangkan sensitiviti politik dan ketenteraan terhadap teknologi sedemikian.
Beliau berkata, Pyongyang bagaimanapun memiliki pengalaman luas dalam persenjataan dan mungkin dapat membantu dalam komponen nuklear bukan pembelahan, seperti bahan letupan konvensional.
“Ada perkara tertentu berkaitan reka bentuk senjata yang Korea Utara tidak mahu sebarkan kerana sebaik sahaja berada di tangan Iran, ia mungkin dapat dikesan AS dan berpotensi membantu AS melemahkan keupayaan pencegahannya,” katanya.
Korea Utara mengambil langkah luar biasa sepanjang tahun lalu, untuk memperhebat bantuan ketenteraan kepada Russia dengan menghantar ribuan tentera serta peluru berpandu balistik dan senjata lain untuk digunakan dalam peperangan di Ukraine, menurut sumber risikan AS, Ukraine dan negara lain.
BHonline-