PETALING JAYA – Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya diberikan tempoh sebulan untuk mengemukakan bukti bahawa mereka tidak melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
Arahan itu ekoran MyCC baru-baru ini yang mengenakan penalti RM213.4 juta ke atas PIAM dan 22 ejen insurans am tempatan berikutan ‘perjanjian anti-Persaingan’.
Pengerusi MyCC Tan Sri Norma Yaakob berkata tempoh sebulan itu bermula pada 22 Feb, tarikh keputusan itu dibuat.
Beliau berkata langkah itu merupakan keputusan yang dicadangkan, dan Suruhanjaya itu belum membuat keputusan muktamad, dan oleh itu pihak-pihak yang terlibat boleh mengemukakan representasi masing-masing.
“Ada proses yang ditawarkan kepada PIAM dan ahli yang terlibat. Kami akan mendengarnya.
“Kami boleh mengkaji semula. Kami harap mereka dapat memberikan bukti baharu yang kami tidak berpeluang untuk menimbangnya sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di luar Persidangan Persaingan Malaysia 2017 di sini hari ini.
Tindakan MyCC dibuat susulan siasatan mengenai dakwaan perjanjian antara PIAM dan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Automotif Malaysa (FAWOAM) mengenai kadar diskaun yang dipersetujui bagi harga alat ganti dan upah buruh untuk baik pulih kenderaan bermotor yang terlibat dalam kemalangan.
Perjanjian itu membabitkan kadar mengikut jam dan caj harga alat ganti bagi kenderaan, termasuk Proton, Perodua, Naza, Nissan, Toyota dan Honda.
PIAM yang mengulas cadangan penalti itu menggesa MYCC menimbang semula keputusan manakala Bank Negara Malaysia berkata tindakan itu akan menjejaskan teruk kepentingan pengguna.
Mengenai jumlah penalti, ahli MyCC Datuk Dr Sothi Rachagan berkata suruhanjaya itu boleh mengenakan sehingga 10 peratus ke atas jumlah perolehan setiap syarikat, namun mencadangkan sebaliknya, iaitu hanya satu peratus.
“Jika mereka mahukan pelepasan daripada liabiliti, syarikat perlu meneliti Seksyen 5 Akta itu yang memperuntukkan syarat kumulatif.
“Seksyen 5 membabitkan layanan pelepasan daripada liabiliti (yang didakwa mengikut Seksyen 4),” katanya. – BERNAMA

