PUTRAJAYA – Penjual produk stevia palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Makanan 1983 jika didapati bersalah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan Bahagian Keselamatan Makanan untuk menyiasat 10 produk stevia yang dilaporkan sebuah akhbar semalam untuk memastikan kesahihannya.
“Di bawah Akta Makanan, jika ada pencemaran, penjualan makanan tiruan atau maklumat salah berkaitan apa-apa jenis makanan, mereka boleh diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 777 kakitangan kementerian, di sini hari ini.
Dr Subramaniam berkata penjualan produk stevia tidak memerlukan preskripsi doktor memandangkan ia digunakan sebagai pengganti kepada gula biasa khususnya mereka yang menghidap penyakit diabetes.
Laporan akhbar itu menyebut hasil ujian makmal oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia menunjukkan 10 produk terbabit tidak mengandungi ekstrak tumbuhan sebaliknya adalah kombinasi bahan kimia berbahaya.
Sementara itu, Dr Subramaniam menasihatkan kakitangan kementerian untuk meningkatkan keupayaan berhubung dengan rakyat secara berkesan dalam suasana berhemah dan menunjukkan sifat penyayang.
Ini kerana, katanya kebanyakan aduan yang diterima daripada rakyat adalah berkaitan komunikasi tidak berkesan dan penerangan yang tidak jelas.
“Jadi, beri perkhidmatan kepada pesakit sama seperti yang kita mahukan untuk keluarga kita atau mereka yang berdekatan dengan kita.
“Jika perkara ini sentiasa dalam ingatan setiap petugas kementerian dan diterjemah dalam perkhidmatan yang diberikan, maka tiada isu akan wujud,” katanya. – BERNAMA