SEREMBAN – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan memecah masuk sebuah rumah di Taman Makmor, Jalan Tun Dr Ismail, di sini, dengan tujuan mencuri pada 11 Mac lepas.
Tan Jik Kiang, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurulfitriza Abd Latif.
Berdasarkan pertuduhan, pada 11 Mac lepas kira-kira 1 tengah hari, tertuduh bersama dua lagi rakannya yang masih bebas telah melakukan perbuatan pecah rumah di Taman Makmor, Jalan Tun Dr Ismail, Seremban dengan tujuan mencuri harta.
Tertuduh telah mencuri masing-masing sebuah komputer riba, buku akaun bank, jam tangan dan mesin urut kaki dan tertuduh didapati telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan denda.
Nurulfitriza kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mac ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng. – BERNAMA