ALOR GAJAH – Dianggarkan lebih 200 penduduk daripada 48 keluarga di Kampung Cherana Putih Simpang dan Taboh Naning di sini terjejas akibat banjir kilat di kawasan itu.
Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata mangsa yang terjejas teruk telah dipindahkan ke Balai Raya Taboh Naning akibat rumah mereka dinaiki air selepas air sungai berhampiran melimpah disebabkan hujan lebat malam tadi.
“Kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan kerap berlaku sekiranya hujan lebat disebabkan keadaan tanah rendah di dua kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan di sini, hari ini.
Pada lawatan berkenaan, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan turut menyampaikan bantuan wang ringgit dan makanan bernilai kira-kira RM10,000 kepada semua mangsa banjir yang terlibat.
Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Pejabat Daerah Alor Gajah dan Japerun Taboh Naing agar melakukan kerja mendalam dan membesarkan sungai berhampiran secara lebih kerap.
“Langkah ini perlu agar banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkenaan dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, menerusi kenyataan, berkata semua mangsa banjir yang dipindahkan ke Balai Raya Taboh Naning telah pulang ke rumah masing-masing.
“Pusat pemindahan di Balai Raya Taboh Naning telah ditutup pada 12 tengah hari tadi,” kata kenyataan itu.
Seramai 23 penduduk di kawasan tersebut terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara itu apabila rumah mereka dilanda banjir kilat, tengah malam tadi. – BERNAMA

