KUALA LUMPUR – Pelaksanaan rasionalisasi subsidi serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah produktif dan progresif yang telah memberi manfaat besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata walaupun dalam persekitaran global yang mencabar dan penurunan harga minyak mentah, Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan mampan 4.2 peratus pada tahun lepas, “angka yang dicemburui oleh banyak ekonomi maju”.
Katanya, pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan GST merupakan satu keputusan yang sukar.
“Ramai yang telah menasihati saya supaya menolak langkah ini namun kami bukan sebuah kerajaan populis.
“Sudah tentu kami mahu memenangi pilihan raya namun kami juga perlu mempertimbangkan semua keperluan untuk membuat keputusan yang tepat. Tidak disukai (dan) tidak popular, namun ia adalah keputusan yang tepat,” katanya semasa pelancaran Hab Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) Asia Pasifik di sini, hari ini.
Najib berkata, pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi bukan sentiasa menjadi tindakah yang popular untuk diambil, namun kerajaan berpendapat ia adalah satu langkah yang sangat wajar.
Kerajaan memperkenalkan enam peratus GST mulai 1 April, 2015 untuk memperluaskan asas cukai serta mengurangkan pergantungan kepada perolehan minyak dan gas kepada 14 peratus berbanding 41 peratus pada 2009.
Najib berkata, India merancang untuk melaksanakan GST pada kadar 23 peratus bulan depan manakala Arab Saudi juga akan memperkenalkan pencukaian itu pada 2018.
Beliau berkata Program Transformasi Ekonomi Malaysia, yang diperkenalkan pada 2010, turut menunjukkan hasil pencapaian ketara.
“Kemiskinan telah hampir dibasmi, 1.8 juta pekerjaan diwujudkan dan Pendapatan Negara Kasar meningkat hampir 50 peratus,” katanya.
Najib berkata, Malaysia melabur secara besar-besaran untuk membolehkan infrastruktur dan teknologi inovatif meningkatkan skala pengeluaran dan produktiviti, memandangkan adalah penting untuk memodenkan dan memajukan nilai rantaian industri.
“Dalam dunia kompetitif hari ini, pertumbuhan ekonomi kami perlu konsisten dan mampan bagi jangka panjang di samping berupaya mengekalkan trajektorinya dalam semua fasa kitaran perniagaan dan kewangan.
“Oleh itu, kami berusaha untuk membina daya tahan dalam struktur ekonomi kami melalui kepelbagaian, merangkumi eksport komoditi sehinggalah kepada pembuatan dan perkhidmatan, serta mengukuhkan dan menstabilkan institusi kami,” katanya.
Untuk melangkah maju, Najib berkata, ekonomi Malaysia bersedia untuk prospek yang lebih baik pada masa depan, dengan aktiviti perdagangan lebih rancak, prestasi eksport dan permintaan domestik lebih baik menjadi faktor pemacu utama.
Beliau berkata, pencapaian pertumbuhan Malaysia telah dan akan terus disokong oleh pasaran modal yang kukuh.
Pasaran modal akan kekal sebagai sumber tidak ternilai pembiayaan jangka panjang kepada perniagaan dan teroka pembangunan selain sebagai satu cara untuk pelabur membuat dan melindungi kekayaan, katanya. – BERNAMA

