KUALA LUMPUR – Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) menaruh kepercayaan penuh ke atas kemampuan kerajaan Malaysia dalam berhadapan konflik dengan Korea Utara.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa berkata, GMMF menyokong penuh terhadap usaha yang sedang dilakukan kerajaan Malaysia untuk menangani krisis berkenaan.
“Tuduhan yang melampau ke atas Malaysia dalam siasatan pembunuhan 13 Februari lalu menuntut perpaduan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi dan latar belakang.
“Walaupun terdapat kepentingan bersama dan perdagangan antara kedua-dua negara, mesti ditegaskan bahawa kedaulatan undang-undang dan keadilan suatu perkara yang tidak boleh dirundingkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nasharudin dalam pada itu berkata, GMMF berdoa agar 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara dan tidak dibenarkan meninggalkan negara itu berada dalam keadaan selamat. – MYNEWSHUB.CC