KUALA LUMPUR – Islam mengiktiraf hak asasi kebebasan untuk manusia menganut mana-mana agama yang mereka suka.
Itu pandangan Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (PAN), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin mengenai hak kebebasan beragama daripada sudut Islam.
Kata beliau, Islam juga melarang keras memaksa bukan Islam supaya meyakini agama Allah. S.W.T.
“Dalam Islam, kebebasan dan kemerdekaan merupakan hak asasi manusia, termasuk didalamnya kebebasan menganut agama sesuai dengan keyakinannya.
“Oleh karana itu, Islam melarang keras adanya pemaksaan keyakinan agama kepada orang yang telah menganut agama lain,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Abdul Ghani berkata, hal itu dijelaskan dalam al-Quran yang menyebut tidak ada paksaan untuk memasuki agama Islam.
Beliau turut menegaskan, Islam memberi kuasa kepada bukan Islam untuk melakukan apa sahaja hak mereka asalkan tidak bertentangan dengan hukum Islam.
“Islam telah memberikan respon positif terhadap kebebasan beragama yang tercermin dalam bentuk kerukunan dan toleransi antara pemeluk agama,” katanya.
PAN ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS dengan sokongan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam pakatan pembangkang.
PAS disingkirkan daripada pakatan pembangkang dua tahun lalu kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam yang dianggap oleh DAP dan PKR boleh menjejaskan kepentingan politik pembangkang. – MYNEWSHUB.CC

