KUANTAN – Dua pusat pemindahan sementara mangsa banjir yang dibuka bagi menempatkan 30 orang daripada 12 keluarga di Sungai Lembing, dekat sini telah ditutup pukul 6 petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusof berkata kesemua mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lembing dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Lembing dibenarkan pulang setelah keadaan kembali pulih.
Katanya, dua pusat pemindahan berkenaan sebelum ini dibuka seawal 7 pagi tadi berikutan banjir kilat sedalam 1.5 meter disebabkan limpahan air dari Hulu Sungai Lembing yang naik secara mendadak selepas hujan lebat awal pagi tadi. – BERNAMA