LUNDU – Bapa mentua Rapelson Richard Hamit berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan menantunya itu menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amar Jamilah Anu.
Galau anak Galih berkata beliau percaya menantunya itu diperdaya untuk bertanding sebagai calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjong Datu,
Katanya lagi, selaku anggota dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tunjang komponen BN Sarawak, beliau perlu membuat penjelasan agar tidak dianggap konon sebagai antikerajaan.
“Tindakan menantu saya adalah pilihannya sendiri,” kata Galau, 54, ketua rumah panjang dengan 19 keluarga di Kampung Temalan Dayak dekat sini, dalam sidang media hari ini.
Katanya beliau juga hanya tahu tentang hasrat Rapelson, 31, untuk bertanding itu pada saat-saat akhir.
“Saya terkejut dan kesal dengan keputusannya. Jika saya tahu lebih awal saya akan pujuk dia batalkan hasrat bertanding, lebih-lebih lagi di Tanjong Datu.
“Bagaimanapun nasi sudah jadi bubur dan saya gesa pengundi agar sokong Jamilah kerana hanya kerajaan (BN) sahaja yang dapat bantu rakyat, terutama dalam isu tanah Hak Adat Bumiputera yang kini dieksploitasi Rapelson dalam kempennya,” kata beliau.
Galau yang juga peserta perladangan kelapa sawit komersil, berkata isu berkenaan harus ditangani oleh pemimpin kaum Dayak dalam kerajaan dan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
“Begitu juga dengan isu seperti kurangnya peluang untuk Dayak dalam perkhidmatan awam dan lain-lain,” katanya.
Galau berkata walaupun Rapelson memilih platform politik berbeza, hubungan kekeluargaan tidak akan terjejas. – BERNAMA