KUALA LUMPUR – Empat pemain Persatuan Tenis Wanita (WTA) gembira kerana berpeluang mendampingi kanak-kanak autisme di Pusat Permata Kurnia di sini hari ini.
Mereka ialah Ashleigh Barty, 20, dan Casey Dellacqua, 32, dari Australia, Sai Sai Zheng, 23, dari China dan Theiviyah Selvarajoo, 23 dari Malaysia.
Dellacqua berkata dia amat gembira kerana mendapati pusat itu membantu dan memberi bimbingan kepada kanak-kanak yang memerlukan pertolongan.
“Ini suatu tempat yang serba lengkap untuk memberi permulaan yang lebih baik kepada kanak-kanak autisme serta membuat mereka berasa lebih selesa sebelum memasuki sekolah awam,” katanya kepada pemberita pada akhir lawatan selama dua jam ke pusat itu.
Pengarah pusat itu, Prof Dr Hasnah Toran, berkata hampir 300 kanak-kanak autisme berusia antara tiga dan tujuh tahun, belajar di sekolah itu, yang mula beroperasi setahun lepas, dengan lebih 100 orang tenaga pengajar.
“Kunjungan pemain berkenaan akan membantu menonjolkan isu ini kerana saya percaya ia memerlukan usaha bertaraf nasional daripada setiap orang,” katanya.
Dalam kunjungan mereka, pemain terbabit melawat dan bermesra dengan pelajar, serta menyampaikan beg cenderamata dan raket tenis.
Mereka berada di negara ini untuk menyertai kejohanan tenis Terbuka Malaysia ALYA. – BERNAMA