SANTUBONG – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan mayat separuh badan, dipercayai mayat lelaki yang dilapor hilang ketika menjala ikan di Sungai Santubong, Kampung Santubong, di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata SAR itu digerakkan pagi tadi selepas menerima laporan daripada anak mangsa.
“Kehilangan mangsa disedari anaknya pada 5 petang semalam selepas mangsa tidak pulang ke rumah dan anak mangsa membuat laporan polis pagi ini.
“Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat Petrajaya menghantar lapan anggota ke lokasi pada 9.16 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.
Farhan Sufyan berkata usaha mencari dilakukan di sepanjang tebingan sungai dan menemukan telefon bimbit serta bekalan makanan milik mangsa.
“Pada 10.29 pagi, separuh badan mangsa (paras pinggang ke kaki) ditemukan kira-kira tiga kilometer dari jarak pasukan SAR menemukan barangan mangsa dan usaha mencari separuh lagi mayat kini digiatkan,” katanya. – BERNAMA