LUMUT – Sejumlah 2,215 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak atas pelbagai kesalahan sepanjang 16 hari operasi khas sempena Tahun Baharu Cina (Op TBC 2017).
Pengarahnya, Mohd Zawawi Zakaria berkata operasi yang bermula pada 21 Jan hingga 5 Feb lepas itu diadakan di beberapa kawasan di Perak termasuk lokasi yang dipercayai kerap berlaku kemalangan.
“Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya melibatkan larangan semua kenderaan berat kecuali membawa muatan makan, bahan api, sampah dan perubatan, memasuki lebuh raya dan laluan utama pada 26 dan 27 Jan dan 31 Jan dan 1 Feb lepas, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Operasi Rentas Sempadan di Daerah Seri Manjung di Kilometer 3, Jalan Sitiawan-Lumut di sini, malam tadi.
Operasi dua hari itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia, Agensi AntiDadah Kebangsaan dan Jabatan Imigresen Manjung.
Mengenai operasi itu yang bermula dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya telah mengeluarkan 266 saman atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan-kesalahan ini antaranya melibatkan cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknik (pada kenderaan).
“Kita turut mengeluarkan 21 notis pemeriksaan kenderaan, 15 notis larangan penggunaan dan dua notis permintaan butir-butir pemandu,” katanya.
Mohd Zawawi berkata dalam operasi tersebut empat motosikal disita kerana tidak mempunyai cukai jalan selain turut mengesan tiga warga asing yang memandu tanpa lesen memandu kompeten (CDL). – BERNAMA

