KUCHING – Puan Sri Jamilah Anu merupakan calon popular dan mampu menang besar pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu 18 Feb ini, menurut penganalisis politik.
Mereka berpendapat ini diperkukuhkan lagi dengan sikap calon Barisan Nasional (BN) itu yang dilihat merendah diri, peramah, mesra rakyat dan memahami aspirasi rakyat khususnya penduduk Tanjong Datu.
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Univeriti Malaya (Umcedel) mendapati populariti Jamilah lebih daripada 80 peratus, sama seperti anaknya Azizul Annuar.
Menurutnya, Jamilah merupakan calon paling layak kerana beliau ialah wanita di belakang kejayaan suaminya Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu sebelum ini.
“Legasi Adenan juga akan dapat diteruskan lebih-lebih lagi imej keibuannya yang terserlah, aktivis wanita yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan tinggi dan bersifat mesra rakyat.
“Beliau juga memahami aspirasi rakyat Tanjong Datu, lebih diterima akar umbi, tidak sombong dan juga berpendidikan,” kata Awang Azman kepada Bernama.
Ketua Menteri Sarawak merangkap Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan Jamilah, 61, sebagai calon BN bagi PRK Tanjung Datu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Tanjong Datu diadakan pada 18 Februari manakala penamaan calon pada 4 Februari berikutan kematian Adenan akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas.
Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.
Awang Azman berpendapat keputusan dibuat Abang Johari itu menunjukkan beliau peka dan mendengar maklum balas semua pihak, khususnya penduduk Tanjong Datu
Katanya hubungan Jamilah yang baik dengan kepimpinan PBB dan BN Sarawak selama ini pastinya akan memudahkan pembangunan di Tanjong Datu nanti.
Sementara itu, pensyarah kanan dan penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Madya Dr Jeniri Amir menyifatkan pencalonan Jamilah sebagai sangat tepat dan akan dapat meneruskan visi Allahyarham suaminya.
“Jamilah sudah dikenali umum, khususnya di Tanjong Datu kerana sering menemani Adenan ketika melawat ke kawasan, di samping sifat peramah walaupun tidak terlibat secara langsung dalam politik sebelum ini.
“Masyarakat setempat tahu siapa beliau… beliau sudah mengenali dan biasa dengan para pengundi, malah amat disukai oleh penduduk di Tanjong Datu,” katanya.
Beliau yakin Jamilah akan menang besar kerana selain Tanjong Datu sebagai kubu kuat PBB, rasa simpati rakyat terhadap Allahyarham Adenan akan turut menyumbang undi.
“Saya percaya calon parti pembangkang dan Bebas akan hilang deposit (pada PRK itu nanti),” katanya penuh yakin. – BERNAMA