JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan “Geng Adela” yang aktif mencuri motosikal di sekitar Iskandar Malaysia dengan penahanan 13 anggota kumpulan itu dalam operasi khas lima hari yang berakhir Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata polis percaya penahanan kesemua lelaki berumur antara 16 dan 32 tahun itu sekali gus menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal di kawasan Iskandar Malaysia.
“Sepanjang tempoh ‘Op Adela’, polis merampas 10 motosikal pelbagai jenis, empat enjin motosikal, tujuh rangka motosikal, pelbagai komponen motosikal dan pelbagai spanar yang diubah suai dan disyaki digunakan untuk mencuri motosikal yang kesemuanya dianggar bernilai RM60,000,” katanya.
Kesemua 13 lelaki terbabit berasal dari Felda Adela, Kota Tinggi dan aktif melakukan jenayah itu sejak setahun lepas, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Semakan mendapati sembilan daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan curi kenderaan dan dadah, seorang berkaitan rogol manakala tiga yang lain tiada rekod jenayah, katanya.
Sulaiman berkata, pada Oktober lepas polis menahan lima anggota kumpulan terbabit termasuk ketuanya dan telah dikenakan hukuman buang daerah oleh mahkamah mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Mengenai program EKSA yang dilancarkan hari ini, beliau berkata ia bertujuan untuk menggalakkan anggota polis mengamalkan cara kerja yang berhemah dan sistematik sama ada di rumah mahupun di pejabat bagi menjamin keselesaan hidup.
“Melalui program ini, kita juga melancarkan program kitar semula supaya anggota kita membuang sampah di tempat yang betul.
“Sebuah jawatankuasa akan menilai dan memantau kebersihan 11 balai di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan supaya budaya ini diamalkan agar anggota dapat bekerja dengan lebih selesa dan masyarakat yang datang berurusan juga mempunyai rasa yang sama,” katanya. – BERNAMA