KUALA PILAH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan hari ini memeterai perjanjian jual beli dengan tiga pengusaha tanaman jagung di negeri ini, hari ini.
FAMA Negeri Sembilan yang diwakili Pengarahnya Muslim Manja menandatangani perjanjian dengan KHKM Enterprise serta dua pengusaha individu iaitu Azmi Abu dan Saifuddin Razak, yang disaksikan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Hasim Rusdi.
Muslim selepas majlis itu berkata perjanjian itu adalah untuk membekalkan 400,000 tongkol jagung manis untuk FAMA bagi tempoh lima bulan bermula Mac ini.
Manakala Hasim pula berkata ia adalah sebahagian langkah kerajaan negeri bagi membantu usahawan tempatan mengkomersialkan hasil pertanian mereka di seluruh negara dan juga untuk pasaran luar.
“Kita mengadakan perjanjian jual beli ini di mana pengusaha terlibat akan membekalkan jagung sebanyak 20,000 (tongkol) seminggu dengan nilai RM20,000. Kita harap dengan adanya perjanjian ini penjualan jagung ini kelak mampu mendapat tempat di seluruh negara,” katanya.
Hasim berkata Negeri Sembilan dijangka akan menjadi pengeluar jagung yang terbesar di negara ini pada masa akan datang dengan setakat ini penanamannya melibatkan keluasan sejumlah 145 hektar dengan 24 orang pengusaha.
Katanya, lokasi utama untuk tanaman jagung di negeri ini ialah Kuala Pilah, Rembau dan Jempol dan akan diperluaskan lagi di dua daerah iaitu Jelebu dan Tampin. – BERNAMA

