JAKARTA – Tidak seperti kebiasaan, Presiden Indonesia, Joko Widodo sempat lagi mengisi masa dengan bermain futsal di tengah-tengah kesibukan jadual hariannya sebagai ketua negara.
Berseluar pendek dan menggunakan kasut lari, beliau yang mesra disapa sebagai Jokowi tampil ceria dengan imej lazim gigi tersenyum muncul di gelanggang Time Futsal, Kelapa Gading, Jakarta Utara pada petang Selasa.
Kali ini, pasukan Jokowi yang dibarisi sejumlah menteri Kabinet dan beberapa ketua jabatan pemerintah menentang pasukan wartawan tempatan yang sering membuat liputan pelbagai majlis rasmi di Istana Kepresidenan.
Ini sebenarnya bukan kali pertama beliau bermain bola sepak dan futsal malah petugas media pernah banyak kali menyaksikan Jokowi aktif di gelanggang permainan sejak bergelar gabenor ibu kota Jakarta pada 2012 lalu.


Namun, buat julung kali tidak sampai pertandingan separuh masa pertama 20 minit berakhir, Jokowi dilihat keluar lapangan dan minta diganti. Ketika itu, kedudukan perlawanan masih didahului pasukan wartawan dengan 1-0.
Jokowi bagaimanapun sempat menciptakan beberapa peluang terbaik untuk jaringan gol tetapi semuanya berhasil ditumpaskan oleh penjaga gawang dari pasukan wartawan yang berjaya membaca rentak perlawanan beliau.
“Sudah lama, sudah lama sekali enggak (tidak) bermain futsal. Jadi tadi ya main hanya tujuh minit sudah terasa. Sudah terasa keluar keringatnya semuanya,” luah Jokowi keletihan dengan nafas masih tercungap-cungap.
Lucunya, setelah Jokowi keluar gelanggang, lebih banyak gol dicipta oleh kedua-dua pasukan. Pertandingan berlangsung amat sengit dan akhirnya perlawanan tamat dengan kemenangan tipis pasukan wartawan iaitu 5-4.


Gol pasukan Istana Kepresidenan dijaringkan Menteri Pemuda dan Olahraga, Imam Nahrawi; Menteri Tenaga Kerja, Hanif Dhakiri; Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin dan Ketua Polis Negara, Jeneral Tito Karnavian.
Pasukan itu turut disertai Setiausaha Kabinet, Pramono Anung; Ketua Staf Kepresidenan, Teten Masduki; Panglima Tentera Nasional, Jeneral Gatot Nurmantyo; Menteri Penyelaras Politik dan Undang-undang, Wiranto; Menteri Perhubungan, Budi Karya; Menteri Pertanian, Amran Sulaiman dan Menteri Perindustrian, Airlangga Hartarto.
Dalam ucapan alu-aluannya, Jokowi menyatakan bahawa pertandingan diadakan dalam rangka usaha sempena menyambut hari media nasional pada 9 Februari lalu yang diraikan Persatuan Wartawan Indonesia sejak 1946.
“Kita ingin menunjukkan bahawa pemerintah, ya saya beserta menteri-menteri, ingin terus bersahabatan dengan pihak media,” kata Jokowi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

