MARAN – Prestasi pemain Kelantan yang semakin meningkat memberi kelegaan kepada jurulatih pasukan, Zahasmi Ismail walaupun keserasian pemain masih belum mencapai tahap yang dikehendakinya.
Namun beliau percaya aspek itu mampu dimantapkan dalam setiap perlawanan sepanjang Liga Malaysia musim ini, apa lagi Kelantan baru mengharungi dua aksi Liga Super berbanding pasukan lain yang sudah bermain empat kali.
“Tiga mata yang dikutip malam ini (tadi) dalam aksi di tempat lawan sememangnya sesuatu yang melegakan,” katanya selepas menyaksikan skuadnya menundukkan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak di sini.
Mengulas perlawanan itu, Zahasmi mengakui ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila tuan rumah menyamakan kedudukan 1-1 sebelum meraih kemenangan seminit sebelum permainan tamat menerusi gol Mohammed Mahmoud Ghaddar.
Skuad The Red Warriors membuka jaringan pada minit ke-33 menerusi Indra Putra Mahayuddin, sebelum penyerang import dari Liberia, Zah Rahan Krangar menyamakan kedudukan pada minit terakhir babak pertama.
Zahasmi berkata pemainnya perlu lebih berwaspada dan meningkatkan tahap permainan pada perlawanan seterusnya bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan pasukan elit lain.
“Pemain import juga sudah membuktikan keupayaan apabila memberi komitmen yang tinggi dan bermotivasi untuk memburu kemenangan malam ini,” katanya yang kini sudah memastikan Kelantan menang kedua-dua perlawanannya.
Sementara itu, pemangku jurulatih The Fighters, Mohamad Nik berkata anak buahnya telah mempamerkan permainan yang baik tetapi gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri.
“Pada babak pertama, pemain kami masih mencari rentak namun situasi bertukar pada separuh masa kedua apabila mereka mula dapat bermain seperti yang diarahkan.
“Saya akan memastikan persiapan pasukan ini benar-benar mantap agar Felda United mampu terus menjadi pencabar,” katanya yang memangku tugas itu selepas pengunduran Azmi Mohamed dua hari lalu. – BERNAMA

