CHANGSHA – Lapan disahkan terbunuh dalam insiden lombong arang batu meletup di wilayah Hunan tengah China, kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa lapor agensi berita China Xinhua.
Letupan dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.37 pagi Selasa di Lombong Arang Batu Zubao di bandar Lianyuan, di bawah pengurusan Loudi City, kata pihak Loudi.
Semasa kejadian terdapat 29 pekerja berada di lombong berkenaan, 17 orang berjaya diselamatkan sementara seorang mangsa dilaporkan cedera. Tiga lagi dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat diketuai Timbalan Gabenor Hunan Yang Guangrong.
Lombong arang batu itu milik Tengfei Coal Mine Co Ltd di perbandaran Doulishan di bandar Lianyuan. – BERNAMA

