KUALA LUMPUR – Polis menolak keras dakwaan bahawa dua suspek wanita dalam pembunuhan abang Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam hanya melakukan ‘prank’ terhadap lelaki tersebut.
Malah menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kedua-dua wanita berkenaan mengetahui aksi spontan tersebut melibatkan penggunaan bahan dipercayai racun yang mampu membunuh manusia.
Beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini turut memaklumkan hasil siasat mendapati dua suspek tersebut, Siti Aisyah, 25, dan Doan thi Huong, 28, pernah menjalankan ‘latihan’ di pusat beli-belah Pavilion dan Suria KLCC.
Ia dilakukan sebagai persediaan sebelum mereka berdua perlu berdepan dengan situasi sebenar di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang, Selangor pada 13 Februari lalu.
“Kita percaya bahawa bahan cecair yang digunakan adalah sejenis toksik beracun dan sudah tentu mereka (kedua-dua suspek wanita berkenaan) tahu bahan tersebut memang berbahaya (kepada kesihatan tubuh manusia).
“Kita juga percaya kedua-dua suspek wanita itu telah bersedia dengan cecair di tangan mereka sebelum pergi menyapu bahan toksik tersebut langsung ke muka mangsa secara tiba-tiba,” tegas Khalid.
“Selepas selesai misi, kedua-dua mereka diarahkan oleh empat suspek yang sudah meninggalkan negara ini untuk segera membersihkan tangan di mana-mana tandas,” katanya pada sidang media berkenaan.
Pendedahan Khalid itu berbeza daripada laporan media sebelum ini sekali gus menolak andaian awal konon mereka hanyalah ‘kaldai’ dan kejadian itu satu gurauan atau prank untuk penggambaran stesen televisyen.
Beliau bahkan mendedahkan bahawa dua suspek wanita yang ditahan polis sebelum ini memang tahu rancangan membunuh Jong-nam yang dirujuk polis sebagai Kim Chol berdasarkan dokumen perjalanan ditemui.
Dalam pada itu, Khalid menjelaskan, khabar mengatakan anak mendiang Jong-nam iaitu Kim Han-sol tiba di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini adalah tidak benar.
Beliau menyifatkan ia laporan khabar angin apabila media membuat spekulasi anak mangsa hadir secara senyap untuk menyerahkan sampel DNA dan membuat pengecapan mayat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA