KOTA KINABALU – Polis Sabah hari ini mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam tragedi bot pelancong karam adalah 31 orang dengan mangsa yang masih hilang seramai enam orang.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata berdasarkan siasatan setakat ini mangsa yang masih hilang ialah lima warga China dan seorang kru.
“Dalam sidang akhbar saya semalam, saya menjelaskan bahawa seorang daripada pelancong yang namanya ada dalam senarai penumpang tidak menaiki bot tersebut.
“Siasatan lanjut pihak kita mendapati ada beberapa perkara yang berlaku,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Ramli berkata siasatan mendapati lelaki itu menaiki bot berkenaan bersama isteri dan anak perempuan mereka berusia 10 tahun, namun nama isteri dan si anak tiada dalam senarai.
“Lelaki itu antara penumpang yang selamat,” katanya.
Ramli bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada perubahan pada jumlah mangsa berikutan percanggahan pada senarai yang disediakan oleh pengusaha bot.
“Kalau begini keadaannya kita tidak boleh bergantung kepada senarai penumpang (yang disediakan pengendali bot),” katanya.
Pada masa ini polis masih dalam proses mendapatkan maklumat daripada mangsa, kata beliau dan menambah proses tersebut akan mengambil masa berikutan keadaan kebanyakan mangsa yang masih lemah selain mengalami trauma.
Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu, bot pelancong jenis Catamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal tersebut karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.
Setakat ini, 25 mangsa ditemukan termasuk tiga yang maut. – BERNAMA