WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri India Narendra Modi pada Selasa mencapai kata sepakat untuk bersama-sama berganding bahu memerangi keganasan, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut kenyataan Rumah Putih, menerusi perbualan telefon dengan Modi, Trump menegaskan bahawa AS menganggap India “sahabat dan rakan kongsi sejati” dalam menangani pelbagai cabaran dunia.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan mengenai peluang untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua buah negara seperti ekonomi dan pertahanan.
Turut dibincangkan ialah perihal keselamatan di Asia Selatan dan Asia Tengah.
Trump juga mempelawa Modi untuk melawat AS pada akhir tahun ini, jelas kenyataan itu. – BERNAMA