KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata penutupan pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negeri itu.
Ini kerana katanya Sarawak mempunyai kementerian dan agensinya sendiri yang bertanggungjawab mempromosikan produk pelancongan di negeri itu.
“Sejak awal lagi kita tidak bergantung kepada Tourism Malaysia semata-mata, kita juga boleh promosikan pelancongan kita sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini yang berkata pejabat Tourism Malaysia di semua negeri akan ditutup bagi mengelakkan pertindihan tugas selain menjimatkan kos.
Mengulas lanjut, Abang Johari berharap kerajaan persekutuan akan terus menyalurkan peruntukan bagi pembangunan sektor pelancongan negeri itu.
Mengenai perkembangan lain, Ketua Menteri itu berkata kerajaan negeri telah membatalkan hasrat untuk mengambil alih syarikat penerbangan MasWings selepas tiada kata putus daripada Malaysia Airlines selaku syarikat induk.
“Kami memang serius hendak mengambil alih MasWings tetapi setelah berunding dengan syarikat induk tidak ada keputusan kukuh yang dibuat mereka, justeru kami lupakan sahaja hasrat itu,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari berharap syarikat penerbangan China, China Express Airlines Co. Ltd yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri hari ini, dapat membantu Sarawak dalam menyediakan pengangkutan udara yang amat penting bagi sektor pelancongan negeri itu.
Syarikat itu adalah antara empat syarikat berpangkalan di China yang menandatangani MoU dengan Sarawak hari ini bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama dalam sektor pelancongan di negeri berkenaan. – BERNAMA