MUAR – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Johor meningkat kepada 1,457 orang melibatkan 320 keluarga berbanding 177 orang daripada 36 buah keluarga semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Johor (JPBN), Datuk Ayub Rahmat sebanyak 19 pusat pemindahan melibatkan lima daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Tangkak dan Segamat mula dibuka semalam.
“Daerah Kota Tinggi mencatat jumlah pemindahan tertinggi iaitu seramai 838 mangsa melibatkan 164 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS iaitu Surau Kampung Baru Sungai Emas (13 orang), Balai Raya Kampung Tersusun Delima (20) dan Dewan Serbaguna Kota Kechil (805 orang),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sejumlah 459 mangsa banjir melibatkan 118 buah keluarga dipindahkan di sembilan PPS bagi daerah Segamat iaitu 206 orang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, Dewan Serbaguna Kampung Bukit Tunggal (25), Dewan Kampung Chinchin (13), Balai Raya Kampung Melayu Raya (13), Balai Raya Kampung Orang Asli Segamat Kechil (empat), Balai Raya Kampung Paya Lebar (15), Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang (107), Sekolah Agama Ismail Ariffin (69) dan Sekolah Kebangsaan Batu Anam (tujuh).
Manakala 83 orang membabitkan 26 keluarga dipindahkan di dua PPS di Daerah Johor Bahru iaitu 82 orang di Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru Masai dan seorang di Sekolah Kebangsan Nam Heng.
Di daerah Kluang pula, 34 orang melibatkan lapan keluarga di pindahkan di dua PPS iaitu lapan orang di Dewan Kampung Parit Hasan dan 26 di Dewan Kampung Dewan Air.
Sementara itu sebanyak tiga PPS dibuka di daerah Tangkak melibatkan 43 orang daripada sembilan keluraga.
Empat mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Melepang, Sekolah Kebangsaan Sialang (8) dan Sekolah Kebangsaan Serom 8 (31).
Ayub mengingatkan orang ramai agar mengikut arahan berpindah oleh agensi penguatkuasa dan menjaga keselamatan masing-masing.
“Saya minta orang ramai yang menjadi mangsa banjir agar menjaga kesihatan mereka dan segera memberitahu agensi terbabit di PPS jika mengalami masalah kesihatan bagi tindakan susulan,” katanya. – BERNAMA

