BAGAN DATUK – Masalah hakisan pantai berhampiran muara Bagan Sungai Tiang dan sekitarnya akan diberi perhatian, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurutnya kerajaan negeri sentiasa komited dan berusaha untuk memastikan segala permasalahan melibatkan rakyat diberi perhatian sewajarnya.
“Perkara ini dalam perhatian dan kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi hakisan daripada terus mengundang kebimbangan ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan ‘Program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian’ yang dihadiri lebih 1,000 anggota masyarakat Cina dan penduduk sekitar di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min di Bagan Sungai Tiang di sini petang ini.
Program itu dianjurkan bersempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Bagan Datuk yang bermula dari semalam hingga Sabtu ini.
Zambry berkata, masalah hakisan tersebut akan diselesaikan dengan sebaiknya kerana akibat masalah itu juga turut menjejas pendapatan nelayan yang tidak dapat turun ke laut.
Sementara itu, Ketua Kampung Bagan Sungai Tiang, Oong Ah Lim berkata masalah hakisan itu telah berlarutan sejak 19 tahun lepas hingga memaksa penduduk sekitar menggunakan tayar lama selain beg pasir untuk dijadikan benteng.
Justeru katanya kerajaan negeri digesa mengambil perhatian secepat mungkin berikutan hakisan pantai yang dianggarkan sepanjang 350 meter itu semakin memanjang, terutama apabila air laut pasang besar. – BERNAMA

