KUALA LUMPUR: Mayat lelaki ditemui di tepi sungai berhampiran sebuah kolej swasta di Bandar Sunway, malam tadi.
Mayat yang hanya berseluar panjang ditemui orang awam sekitar jam 7.10 malam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata lelaki terbabit dipercayai meninggal dunia dalam tempoh yang lama berdasarkan keadaan fizikalnya.
“Pada masa ini, identiti si mati tidak dapat dikenal pasti disebabkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
“Pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dijalankan kerana keadaan mayat yang tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
Saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-56212222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (Subang Jaya) di talian 03-78627222 bagi membantu siasatan.
BHonline-


