CUACA hujan yang tidak menentu serta keadaan banjir yang masih belum reda di Kelantan, memaksa pasukan bola sepak negeri Pantai Timur itu terpaksa menjalani latihan di Kuala Lumpur.
Ia sebagai persiapan skuad Gomo Kelate Gomo itu untuk menghadapi kelab Selangor PKNS FC pada saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, pada Jumaat ini.
Jurulatih pasukan Kelantan, Zahasmi Ismail berkata The Red Warriors (TRW) berlepas ke ibu negara pada Rabu bagi menjalani latihan di padang Pusat Latihan Jeonsa, Kampung Baru.
“Sejak Jumaat lalu, banyak perkara yang kita rancang nak buat tapi tergendala ekoran banjir dan hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad IV.
“Malahan tempat latihan alternatif di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) di sini pun sama juga.
“Perkara itu jelas tidak beri sebarang kelebihan kepada saya untuk merangka persiapan pasukan sebaik mungkin. Sebab itu, kita buat keputusan lari ke Kuala Lumpur,” katanya kepada Sinar Harian.
Sabtu lepas, perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Melaka United yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV terpaksa ditunda ke suatu tarikh lain berikutan cuaca buruk.
Zahasmi berkata perlawanan pada Jumaat ini, kemungkinan memberi tekanan kepada kesebelasan pemainnya kerana ia adalah aksi sulung TRW di tempat lawan.
“Kami akan cuba sedaya upaya pada perlawanan pertama kami, kami mahu melihat keserasian pemain terutamanya pemain import,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC

