KUALA TERENGGANU – Cuaca baik sepanjang hari di Terengganu terus menyaksikan penurunan ketara mangsa banjir iaitu hanya 2,576 orang berada di pusat pemindahan setakat pukul 6 petang ini berbanding 4,174 orang tengah hari tadi.
Sebanyak 29 pusat pemindahan juga sudah ditutup menjadikan jumlah yang dibuka ketika ini hanya di 34 lokasi yang menempatkan 674 keluarga.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi Infobanjir, daerah Besut yang hampir pulih sepenuhnya terus mencatatkan penurunan jumlah mangsa iaitu hanya 28 orang daripada sembilan keluarga masih berada di dua pusat pemindahan berbanding 804 orang (226 keluarga) sebelum ini.
Penutupan empat pusat pemindahan di Hulu Terengganu menjadikan jumlah mangsa terus menurun kepada 625 orang (175 keluarga) berbanding 970 orang (290 keluarga) tengah hari tadi.
Di Setiu pula, 10 pusat pemindahan ditutup menjadikan jumlah mangsa petang ini hanya 234 orang (50 keluarga) berbanding 661 orang (168 keluarga) sebelum ini.
Daerah Kemaman hanya mencatat sedikit penurunan iaitu 437 orang (116 keluarga) ketika ini berbanding 489 orang (131 keluarga) dan jumlah pusat pemindahan kekal di lima lokasi.
Begitu juga di Dungun, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 812 orang (212 keluarga) berbanding 935 orang (247 keluarga) diikuti Marang hanya 39 orang (13 keluarga) berbanding 42 orang daripada 14 keluarga.
Bagaimanapun, daerah Kuala Terengganu terus mencatat peningkatan mangsa kepada 401 orang (99 keluarga) berbanding 278 orang (71 keluarga) sebelum ini.
Tiga pusat pemindahan baharu turut dibuka di daerah itu petang ini. – BERNAMA

